Wednesday, October 8, 2014

RINDU

 


Hampir setahun kau pergi Abah,

Hari demi hari aku makin rindu,

Senyum kau, geram kau, marah kau, baran kau,

Terngiang-ngiang jauh didasar fikiran,

Jauh dilubuk hati, aku haus akan kasih sayang,

Hausnya kasih seorang idola buat keluarga,

Pahit, manis, juga onak duri sama kita rasa,

Nasihat kau, bicara kau, yang kini aku buat pedoman,

Yang menjadi benteng dari aku terus tenggelam,

Yang menjadi tangga untuk aku terus daki,

Mengejar setiap kerjaya pelengkap dunia penuh dusta,

Mengejar setiap ibadah pelengkap akhirat yang kekal,

Terkadang aku alpa bahawa aku hanya hamba,

Terkadang aku leka dengan keseronokan sementara,

Abah mungkin kau sudah tahu,

Insan kesayangan kau, aku, keluarga juga saudara,

Dialah nenek buat aku, penjaga aku dari hingusan, Mertua buat kau,  

Kini pergi jauh dari semua seperti kau dipanggil seruan Ilahi,

Detik demi detik,

Aku sedar kita semakin dimamah usia,

Benar usia bukan penentu kehidupan didunia,

Mati itu pasti yang hanya diketahui Maha Pencipta,

Mungkin esok menjadi hari terakhir buat kita,

Kita takkan tahu berapa lama jangka masa yang kita ada,
 
Itu hak mutlak urusan Dia Maha Agung Maha Berkuasa,

Abah apakah perihal kau di dalam sana?

Adakah kau mendapat layanan yang baik?

Adakah doa aku buat kau diterima di sana?

Aku harap ia membantu kau untuk bahagia,

Soleh masih jauh untuk aku capai,

Ilmu yang aku cari masih cetek didada,

Terasa kerdil untuk aku bertemu denganNya,

Aku rindu kau abah,

Kali terakhir aku cium wajah kau,

Kau kaku tanpa sepatah kata,

Kaku berbungkus menutup jasad,

Berteman alunan bacaan mukjizat dari kerabat kita,

Teratak indah kita berkerumun penuh dengan saudara,

Aku cuba untuk tahan jatuhnya air mata,

Untuk aku sorok dari khalayak,

Untuk aku tunjuk aku kuat,

Untuk aku tunjuk ketenangan pada Mak peneman akhirat kau nanti,

Yang aku rasa lebih sebak tanpa dapat aku ungkap dengan kata-kata,

Selama kau hidup menjadi peneman setia,

Berpuluh tahun bersama berkongsi onak duri,

Kenangan yang aku rasa takkan pernah pudar,

Benar mak mungkin nampak kuat di luar,

Tapi aku tahu lemahnya dia di dalam,

Dua insan menjadi peneman selama ini,

Mengakhiri kitaran dunia ketentukan Ilahi,

Kini hanya mampu meneruskan segalanya sendiri,

Terima kasih buat kau,

Menjaga, bersusah membela kami,

Mencari rezeki demi sesuap nasi buat enam warismu,

Susah yang kau sorok dari kami,

Yang kami tidak hirau dari pandangan,

Kau tolak semua susah untuk kami sekeluarga selesa,

Besar pengorbanan kau abah,

Takkan cukup untuk aku balas budi kau,

Segulung ijazah pun belum mampu untuk aku balas jasa kau,

Inikan balasan penghargaan kau membesarkan aku tanpa lelah,

Insyaallah doa untuk kau peneman di dalam sana,

Aku akan cuba dan terus mencuba,

Untuk kau capai bahagia di alam sana,

Itu tugas kami sebagai permata kau,

Mengharap capainya kita sekeluarga di syurga,

Yang menjadi impian semua hamba,

Diatas belas ehsan Dia juga amalan kita selama di dunia,

Ini mungkin hanya coretan aku buat kau,

Bertepuk sebelah tidak berbalas,

Yang aku ingin kau tahu yang aku rindu,

Rindu,

Terus rindu,

Rindu,

Rindu akan kau Abah. 


                    Al-Fatihah buat Haji Mohtar Bin Roslan & Hajjah Zainab Binti Mujarabat






  














  












 











    

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...